Wednesday, July 2, 2008

Asal Usul Gasing Bahagian 1


Gasing merupakan sejenis permainan tradisional yang begitu popular pada suatu ketika dahulu. Kepenatan membanting tulang dalam mencari rezeki menyebabkan orang Melayu dahulu mencari pelbagai cara untuk bergembira tanpa perlu mengeluarkan belanja yang besar, malahan, menggunakan bahan terbuang. Ini telah menimbulkan idea oleh masyarakat Melayu untuk mencipta permainan gasing yang diperbuat daripada kayu yang terbuang. Pelbagai faedah boleh didapati daripada permainan gasing ini. Selain dijadikan sebagai hiburan dan juga memanfaatkan bahan terbuang, permainan gasing juga dapat mengembangkan idea-idea masyarakat Melayu, dan ini terbukti dengan terciptanya pelbagai bentuk gasing serta teknik permainan. Permainan gasing juga dapat menyerikan lagi rumah tradisional Melayu kerana gelanggang permainan gasing kebiasaannya dibina di halaman rumah dan di bawah pohon yang rendang yang meredupkan gelanggang. Permainan gasing bagi orang Melayu juga menguji tahap kemahiran dan kepantasan seseorang dalam menghadapi sesuatu situasi. Kemahiran dan kebolehan amat penting dalam gelanggang gasing. Kepantasan dan ketepatan juga penting dalam permainan gasing. Permainan gasing harus terus dimainkan oleh generasi muda sekarang sebagai langkah untuk mengekalkan tradisi permainan ini. Jika usaha gigih diteruskan, pasti suatu ketika nanti gasing akan menjadi permainan yang digemari. Pemulihan permainan ini diharap dapat memaparkan kepada umum tentang warisan bangsa Melayu yang telah dilupakan agar terus berkekalan.

No comments: